Pidato Hamka Mengenai Hubungan Malaysia-Indonesia

Pidato Hamka mengenai hubungan Malaysia-Indonesia Oleh: MAZLAN NORDIN TETANGGA karib, demikian pernah disebut oleh Almarhum Hamka mengenai hubungan Malaysia - Indonesia. Kata Hamka: “Negara Malaysia tetangga karib, serumpun seasal, seadat, sekebudayaan dengan negara tempat saya dilahirkan, Republik Indonesia.” Beliau menyatakan ini pada majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-2 pada tahun 1975 ketika dianugerah ijazah kehormat. Hal ini dicatat berikutan beberapa hal yang berlaku di Jakarta, termasuk demonstrasi kecil di hadapan bangunan Kedutaan Malaysia dan beberapa laporan kritikal dalam akhbar-akhbar Indonesia. Berikutan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Penerangan Datuk Zainuddin Maidin mengadakan lawatan tiga hari ke Makassar, Sulawesi Selatan baru-baru ini untuk menjalin kerjasama lebih erat antara kedua-dua negara. Antara yang menjadi “tuan rumah” ialah Naib Presiden Indoensia, Jusuf Kalla. Sebagai mengenang kembali peristiwa dalam konteks hubungan antara Malaysia - Indonesia, maka tukang catat ini menurunkan kembali sebahagian pidato Almarhum Hamka, yang meliputi juga beberapa aspek dirinya. Teksnya dalam tulisan jawi. “Sebenarnya sejak usia 17 tahun, sekitar tahun 1925, saya telah mulai berlatih mengarang dan mulai memberanikan diri meningkatkan tangga mimbar untuk berkhutbah Jumaat atau pidato tabligh. Hidup, perjuangan dan ajaran ayah saya telah beransur tumbuh dalam diri saya. Pokok ajaran itu ialah jiwa yang bebas merdeka. Kerana tidak ada tempat takut melainkan Allah dan jangan diambil kafir jadi pemimpin. Kemerdekaan jiwa tersimpul di dalam kalimat La ila ha illallah (tiada Tuhan yang patut disembah dan yang patut ditakuti, melainkan Allah). Dengan itu kita hidup, dengan itu kita mati dan dengan itu kita akan berbangkit kelak kemudian hari. Itulah dia tauhid dan itulah dia Islam. Dan itulah dia kebenaran. Kita wajib berjuang atau berjihad menegakkan selama hayat dikandung badan. Segala kesanggupan yang ada pada kita, gunakanlah untuk perjuangan itu, baik dengan lisan berpidato atau dengan tulisan mengarang. Penjajah adalah punca segala bahaya yang dapat memadamkan roh tauhid itu. Kebodohan dan kejahilan umat adalah tempat bertapak penjajah. Saya mengakui, saya telah mengarang dalam berbagai-bagai bidang. Di waktu muda saya pun mengarang beberapa buku roman. Saya mengakui memang ada orang yang memasukkan saya juga dalam barisan seniman. Tetapi bagi saya seni bukanlah buat seni. Potret seni buat saya ialah berpadu jadi satu di antara keindahan, kemuliaan dan maha sempurna. Sampai sekarang saya belum lupa tujuan hidup saya dengan mengarang dan berpidato menegakkan agama Islam sampai tercapai kebesaran Islam yang memang menjadi haknya, sesudah dia dijajah beratus tahun. Sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada Universiti Kebangsaan yang telah memberikan penghargaan atas amal yang tiada sepertinya ini. Sesungguh penghargaan ini amat mengharukan hati saya meskipun ini adalah penghargaan kedua kali sesudah saya terima dari Universiti al-Azhar tahun 1958. Sebab pengkajian tentang diri saya, kuat atau lemahnya tentu lebih tepat dialami oleh orang-orang Melayu sendiri. Moga-moga kiranya penghargaan dan anugerah ini tidak akan menghentikan langkah saya. Sebab nabi telah bersabda, orang yang beriman tidak akan berhenti berbuat baik sampai di tempat perhentian yang terakhir, iaitu syurga. Saya insaf bahawa saya telah mulai tua dan saya pun melihat bagaimana pihak-pihak luar Islam hendak menguasainya melalui ideologi penjajahan dari sudut alam fikiran, seumpama faham komunis, ateis, eksistensialis dan lain-lain yang dimasukkan racunnya ke dalam bahasa kebangsaan. Namun saya percaya asal semangat bebas mereka dari La ila ha illallah masih bernyala dalam jiwa angkatan muda Islam di Malaysia dan Indonesia. Semuanya itu dapat dihadapi. Gayong disambut, kata dijawab. ...berturut-turutlah ulama dan ahli-ahli fikir Islam memakai bahasa Melayu untuk memperkukuh agama Allah di bumi yang subur ini. Semuanya turut memperkaya bahkan memberi bahasa Melayu jiwa yang hidup, jiwa taat kepada Tuhan dan tidak kita lupakan pula pengaruh zamannya. Bukan lagi menyembah dewa dan kebendaan. Di awal abad ke-20 ini, datanglah semangat baru dalam Islam menjalar ke tanah air kita... bangkit di Sumatera dan bangkit di tanah Jawa. Semua memakai bahasa Melayu! Semuanya ini adalah tauladan yang saya turuti. Saya mengarang dalam bahasa Melayu, berpidato dalam bahasa Melayu. Apabila pena saya mencecah ke atas kertas yang tergambar dalam ingatan saya ialah seluruh Nusantara ini. Seluruh bangsaku dan umat seagama yang memakai bahasa ini. Melayu, tetap lebih luas dengan apa yang dinamai Malaysia sekarang. Tanah Jawa, tetapi lebih luas dari Pulau Jawa, Indonesia dan Malaysia sekarang. Tanah itulah semuanya tempat saya yang abadi, tempat saya berkhidmat. Sebagai saya katakan tadi, khidmat ini telah dimulai sejak usia 17 tahun, zaman kedua negeri ini masih terjajah, sampai kedua-dua negeri ini mencapai kemerdekaannya. Saya dalami bahasa Melayu ini dengan penuh cinta dan saya khususkan perhatian saya kepada sejarah Islam di tanah air ini. Rupa-rupanya bahasa Melayu telah berkembang dengan baik. Kerana agama Islam, bahasa Melayu telah menjadi bahasa persatuan sebelum pemuda-pemuda Indonesia bersumpah di tahun 1928. Pulau-pulau yang sekarang bersatu menjadi Republik Indonesia dahulu bernama Gugusan Pulau-Pulau Melayu, kerana walaupun di sana berpuluh bahasa suku, seumpama bahasa Jawa, Sunda, Aceh, Batak, Bugis dan lain-lain, namun sejak beratus tahun yang lalu bilamana mereka hendak berhubung, bilamana hendak surat-menyurat, mereka memakai bahasa Melayu. Demikian juga di Semenanjung ini yang didiami oleh pelbagai kaum, baik sebelum penjajahan orang putih atau sesudahnya bahasa perhubungan adalah bahasa Melayu. Islam mengambil bahagian yang amat mustahak dalam perkembangan bahasa ini. Dia terpahat di hati kita dan tetap hidup. Jika orang Hindu telah memahat Candi Prambanan untuk menunjukkan dia pernah berpengaruh di sini dan agama Buddha memahat Candi Borobudur, maka nenek moyang orang Islam telah memahatkan peraturan agama Islam dengan bahasa Melayu di atas batu bersurat Terengganu. Tidak mati, tetapi tetap hidup.’’ Demikian sebahagian dari pidato Almarhum Hamka. Menurut laporan terbaru, Najib menerima ijazah kehormat dalam bidang Pembangunan Ekonomi dan Politik dari Universiti Hassanuddin. Beliau juga merasmikan pejabat Konsul Kehormat Malaysia di Makassar dan menyampaikan watikah pelantikan kepada Halim Kalla sebagai Konsul Kehormat. Beliau seorang tokoh perniagaan dan adik Naib Presiden Indonesia. Pejabat Konsul Kehormat itu dibuka berikutan meningkatnya hubungan dua hala dalam pelbagai bidang dengan Sulawesi. Ia merupakan Konsul Kehormat kedua di Indonesia selepas Pulau Bali. Seperti dinyatakan oleh Hamka, “Negara Malaysia tetangga karib, serumpun seasal, seadat sekebudayaan.” Dalam pada itu seperti kata orang, sesekali gigi tergigit lidah. - Penulis ialah konsultan kanan ISIS Malaysia. Pandangan penulis adalah pendapat peribadi dan tidak ada kena-mengena dengan ISIS. Di petik dari Harian surat kabar Utusan Malaysia

0 komentar:

Poskan Komentar

Personal blog, kadang anti sama spammer yang hanya menyebar link. Lebih mengutamakan pertemanan antarpersonal. Komentar kembali dimoderasi masih banyak obat-obatan yang nyepam :D :P