Penderaan Pembantu

Tambat amah Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Hadzlihady Hassan am@hmetro.com.my AMPANG: Kejam dan tidak berhati perut apabila seorang majikan sanggup melayan pembantu rumah tidak ubah seperti binatang apabila tergamak merantainya pada kandang kucing di rumahnya. Tindakan lelaki berusia 40-an itu amat zalim apabila mangsa yang baru berusia 19 tahun turut didera dan dipukul selain sengaja ditambat pada kandang terbabit dipercayai bagi mengelakkannya melarikan diri. Lebih tidak berperikemanusiaan apabila mangsa yang baru sebulan bekerja dengan keluarga tuannya turut dijadikan hamba seks bagi memuaskan nafsu lelaki tidak dikenali yang mempunyai kaitan dengan majikan terbabit. Sumber polis berkata, dalam kejadian Rabu lalu, mangsa yang bekerja di rumah majikannya di Taman Kencana, Ampang di sini, mendakwa dirantai pasangan tuannya. Menurutnya, mangsa mendakwa rantai itu disambungkan pada kandang kucing dalam rumah terbabit menyebabkan dia tidak dapat melarikan diri. “Pada keesokan harinya, mangsa mendakwa matanya tiba-tiba ditutup dengan kain selimut oleh majikannya sebelum dia diserang dan diperkosa dua lelaki tidak dikenali. “Namun, sekitar jam 12.30 tengah malam, mangsa yang dalam keadaan lemah berusaha membebaskan diri dengan memotong rantai yang mengikatnya menggunakan gunting dan paku,” katanya. Menurutnya, usaha itu berhasil sebelum mangsa melarikan diri melalui tingkap bilik anak majikannya. “Mangsa yang berjalan tanpa arah kemudian dibantu seorang lelaki yang terserempak dengannya dan dihantar ke Balai Polis Pandan Indah di sini, untuk membuat laporan polis. “Berdasarkan keterangan awal, mangsa mendakwa majikannya sengaja membakar pasport miliknya bagi memastikan dia tidak dapat melarikan diri dari rumah terbabit,” katanya. Malah, menurutnya, amah terbabit sengaja diberikan kad pengenalan palsu oleh majikannya itu yang bekerja sebagai peniaga. “Susulan itu, polis menghantar mangsa mendapatkan rawatan dan pemeriksaan di Hospital Ampang sebelum pemeriksaan mendapati ada kesan koyakan pada kemaluan gadis itu. “Polis segera ke rumah majikan terbabit sebelum menahannya untuk siasatan lanjut,” katanya. Menurutnya, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas jenayah rogol yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan. Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin yang dihubungi Harian Metro semalam mengesahkan kejadian itu. Menurutnya, kes terbabit akan disiasat secara terperinci dengan mengambil keterangan kedua-dua pihak sebelum pendakwaan dilakukan. “Siasatan masih dilakukan bagi mendapatkan bukti lengkap kes terbabit. Suspek kini masih ditahan reman,” katanya.

0 komentar:

Poskan Komentar

Personal blog, kadang anti sama spammer yang hanya menyebar link. Lebih mengutamakan pertemanan antarpersonal. Komentar kembali dimoderasi masih banyak obat-obatan yang nyepam :D :P